oleh Aidiela, Gui Hua dan Kanchana
Adakah anda pernah mendengar
mengenai Ekonomi Digital ? Pernah mengikuti perbincangan mengenai Zon
Perdagangan Bebas Digital ? Tidak pernah ? Biar kami jelaskan.
Ekonomi digital merupakan trend
yang semakin berkembang dan popular dalam landskap perniagaan global disebabkan
jumlah organisasi, perniagaan dan pelabur yang melaksanakannya semakin
meningkat. Ekonomi digital merujuk kepada suatu bentuk perdagangan yang
berdasarkan kepada teknologi pengkomputeran digital dan dijangka akan menjadi
cara perniagaan dijalankan pada masa akan datang. Kaedah yang digunakan
terbukti menjadi lebih berkesan dari segi kos dan masa, berbanding cara
tradisional yang digunakan oleh model perniagaan tradisional.
Dalam usaha ke arah mencapai status
negara maju menjelang 2020, Malaysia melaksanakan banyak strategi, termasuklah
peralihan daripada cara tradisonal kepada ekonomi digital. Hal ini demikian
membolehkan peniaga tempatan terus berkompetitif dengan peniaga asing dalam
persekitaran perniagaan yang moden ini. Contohnya, program transformasi digital
yang dikenali sebagai ‘Digital Malaysia’ yang akan menjadi pelengkap kepada
dasar transformasi negara.
Pada bulan Mac 2017, Perdana
Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Razak bersama pengasas dan Pengerusi
Eksekutif syarikat gergasi e-dagang Alibaba, Jack Ma melancarkan permulaan
operasi Zon Perdagangan Bebas Digital atau Digital Free Trade Zone (DFTZ) di
Aeropolis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Zon Perdagangan Bebas Digital
(DFTZ) merupakan suatu inisiatif terbaharu kerajaan dalam memacu perkembangan
sektor e-dagang negara, seiring dengan usaha pengukuhan kepada ekonomi
domestik. DFTZ merupakan persediaan untuk memudahkan perdagangan melangkaui
sempadan dengan lancar dan membolehkan perniagaan tempatan mengeksport barangan
mereka dengan menjadikan e-dagang sebagai keutamaan. Dengan kata lain,
inisiatif ini adalah untuk memanfaatkan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi
Internet dan aktiviti e-dagang merentas sempadan.
DFTZ merupakan zon perdagangan
pertama dunia yang menggalakkan pertumbuhan e-dagang dengan menampilkan
platform terbaik bagi perniagaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menjalankan
perniagaan dan menawarkan perkhidmatan mereka kepada seluruh dunia. Ia merupakan
e-hab pertama di luar negara China serta dapat memberikan generasi muda lebih
banyak akses kepada pasaran global dengan mengurangkan halangan-halangan yang
wujud dalam perdagangan.
No comments:
Post a Comment